![]() |
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek. - Foto NSTP/Danila Saad |
KUALA LUMPUR: Seramai 400
lagi pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang memperoleh 10A
mendaftar Program Matrikulasi hari ini dan esok, kata Menteri Pendidikan,
Fadhlina Sidek.
Memaklumkan perkembangan
itu dalam sesi kamar khas di Parlimen hari ini, beliau berkata jumlah itu
termasuk 367 pelajar bukan Bumiputera.
Baki 712 pelajar yang
belum mendapat tawaran, beliau memberi jaminan isu keciciran pelajar cemerlang
SPM yang belum ditawarkan kemasukan ke program itu akan diselesaikan
selewat-lewatnya minggu ketiga bulan depan.
"Kenapa minggu
ketiga Ogos? Kerana ada tawaran UPU pada 6 Ogos (ini). Jadi kita bagi pilihan
kepada mereka sama ada mereka nak pilih UPU atau Matrikulasi.
"Mereka akan
mendapat tawaran ini kedua-duanya. UPU mereka dapat kalau mereka mohon tapi
matrikulasi yang mereka mohon awal akan tetap dapat juga. Jadi ada pilihan sama
ada mereka nak pergi UPU atau pun Matrikulasi," katanya.
Mengulas lanjut
pengambilan pelajar ke Program Matrikulasi, Fadhlina menjelaskan ia kekal
mengikut kuota sedia ada dan proses meritokrasi.
Selain itu, beliau
berkata pelajar dari kumpulan pendapatan tertentu juga diberi keutamaan untuk
diambil mengikuti program terbabit.
"Saya ingin tekankan
pengambilan ke Program Matrikulasi mengambil kira anak-anak daripada pelbagai
kumpulan pendapatan.
"Dasar pengambilan
mengambil kira 60 peratus (dari golongan) B40 dan 40 peratus (dari golongan)
M40 dan T20 agar semua golongan sasar berpeluang untuk mengikuti Program
Matrikulasi," katanya.
Mengenai jumlah
keseluruhan pelajar cemerlang 10A SPM memohon ke Program Matrikulasi, Fadhlina
berkata ia membabitkan seramai 4,877 orang termasuk 2,610 pelajar Bumiputera.
Untuk ambilan pertama
kemasukan ke program terbabit, beliau berkata ia membabitkan seramai 3,684
orang, mencakupi 2,586 pelajar Bumiputera dan 1,188 pelajar bukan Bumiputera.
"Pengambilan seluruh
Malaysia. Kita ada (hampir) 11,000 anak-anak kita dapat semua A. Jadi memang
tahap kepandaian mereka ini sudah sampai ke tahap yang memang sangat pandai.
"Jadi memang menjadi
satu tanggungjawab kita untuk memastikan mereka yang cemerlang ini terus
mendapat tempat.
"Tetapi yang kita
nak tumpukan yang dapat keputusan cemerlang 10A ke atas ini yang memang memohon
dan mendapat tawaran. Makanya yang memohon 4,000 lebih kemudian yang mendapat
tawaran 3,684 orang," katanya.
BERITA HARIAN ONLINE
Tiada ulasan:
Catat Ulasan