![]() |
Bermula sesi persekolahan 2024/2025, aktiviti penghayatan Hadis 40 Imam Nawawi diperluaskan ke semua institusi pendidikan bawah Kementerian Pendidikan (KPM). - BERNAMA/FOTO HIASAN |
Inisiatif yang diilhamkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim itu melibatkan guru, murid dan seluruh warga institusi pendidikan KPM yang beragama Islam.
Dalam satu kenyataan hari ini, KPM memaklumkan aktiviti itu setakat ini telah dilaksanakan di 61 Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA), 185 Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) Menengah dan 43 SABK Rendah.
"Ia melibatkan seramai 12,673 guru dan 120,489 murid menerusi pelbagai aktiviti yang dirancang," menurut kementerian berkenaan.
Inisiatif Penghayatan Hadis 40 Imam Nawawi juga tersenarai dalam Pembangunan Pelan Strategik KPM Bagi Tempoh 2024-2030.
"Inisiatif ini adalah cerminan komitmen besar KPM untuk memartabatkan syiar Islam dan pada masa sama melahirkan modal insan yang berilmu, beriman, beramal soleh dan berakhlak mulia," menurut kenyataan itu.
Pada Oktober lalu, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek memaklumkan, modul bagi aktiviti penghayatan Hadis 40 Imam Nawawi yang dibangunkan KPM, diselaraskan dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) bagi memastikan syarah atau kupasan hadisnya sesuai dengan tahap pemahaman murid dan konteks Malaysia.
Katanya lagi, modul aktiviti yang hanya membabitkan murid beragama Islam itu dan dilaksanakan di SMKA dan SABK ketika ini mengandungi semua 42 hadis dalam buku Hadis 40 Imam Nawawi.
BERITA HARIAN ONLINE
Tiada ulasan:
Catat Ulasan