SABAK BERNAM-Pelan Pembangunan Pendidikan 2013-2025 yang bakal berakhir serta pelaksanaan agenda reformasi pendidikan dalam negara antara fokus Kementerian Pendidikan (KPM) dalam Belanjawan 2025.
Menterinya Fadhlina Sidek
berkata pihaknya sudah mendapatkan input daripada pihak berkepentingan untuk
memastikan pembentangan dokumen penting negara itu mencakupi perkara yang
diperlukan dalam memperkasakan sektor pendidikan.
"Keutamaan kita di KPM
tertumpu kepada pembangunan sekolah, fasiliti dan keperluan lain yang penting
bagi diselaraskan dengan agenda reformasi pendidikan.
"Perkara lain yang
turut diberi perhatian termasuk peluasan kelas prasekolah yang kita lihat
sebagai satu pendekatan penting bagi menangani isu keciciran dan malnutrisi
dalam kalangan anak-anak serta program intervensi anak-anak berkeperluan khas,
STEM digital dan dasar Memartabatkan Bahasa Malaysia dan Memperkasa Bahasa
Inggeris," katanya.
Beliau berkata demikian
pada sidang media selepas majlis penyerahan projek KPM di Sekolah Menengah
Kebangsaan (SMK) Bagan Terap di sini hari ini.
Belanjawan 2025 akan
dibentangkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 18 Okt ini.
Fadhlina berkata sebanyak
710 daripada 1,075 sekolah daif di seluruh negara siap dibaik pulih setakat
Ogos ini dengan 164 sedang dalam pembinaan, manakala 201 sekolah dalam proses
prapembinaan
Beliau berkata KPM dengan
kerjasama Jabatan Kerja Raya sentiasa memantau keadaan sekolah di seluruh negara
bagi memastikan anak-anak dapat mengikuti proses pengajaran dan pembelajaran
dalam suasana selamat serta kondusif.
Berhubung penularan wabak
mpox, Fadhlina berkata pihaknya sentiasa bersedia dan menjadikan input daripada
Kementerian Kesihatan (KKM) sebagai garis panduan dalam membuat perancangan
menangani perkara itu.
"Dari segi persiapan
kita sentiasa bersedia kita turut mendapat nasihat daripada KKM dan berpandukan
garis panduan pihak kesihatan, kita akan maklumkan sebarang tindakan kepada sekolah
dari semasa ke semasa," katanya.
BERNAMA NEWS ONLINE
Tiada ulasan:
Catat Ulasan