TANJONG
KARANG -Yayasan PETRONAS, selaku cabang impak sosial
PETRONAS bersama Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) melalui Bahagian
Pembangunan dan Penyelidikan Dasar Pendidikan, telah melancarkan Hab STEM
Program Duta Guru (PDG) untuk meningkatkan pendekatan pembelajaran dalam bidang
Sains, Teknologi, Kejuruteraan, dan Matematik (STEM) serta Geografi.
Majlis pelancaran ini
telah dirasmikan oleh Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Fadhlina Sidek.
Yayasan PETRONAS diwakili oleh Ketua Pengawai Eksekutif Yayasan PETRONAS,
Shariah Nelly Francis dan Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia, Zainal
Abas turut serta melawat Hab STEM PDG Tanjong Karang.
Hab STEM adalah inisiatif
di bawah Program Duta Guru untuk menyediakan ruang kepada komuniti guru
bekerjasama dengan lebih rapat bagi memastikan pelaksanaan kurikulum STEM yang
lebih mantap dan relevan dengan keperluan masa kini. Dengan pengisian teknologi
dan alat bantu mengajar terkini, inisiatif ini turut berperanan untuk menyokong
pembelajaran STEM buat jangka masa panjang. Pada tahun ini, Hab STEM sedang
dibangunkan di Pusat Kegiatan Guru (PKG) Tanjong Karang, Selangor, PKG Bukit
Besar, Terengganu dan PKG Miri, Sarawak.
Shariah Nelly berkata,
“Hab STEM PDG ini bertujuan untuk menyediakan kemudahan kepada guru,
terutamanya Duta Guru, untuk memenuhi keperluan dalam menyampaikan kurikulum
STEM yang berkesan dengan memberi sokongan peralatan bantu mengajar dan program
latihan untuk meningkatkan produktiviti mereka”.
“Oleh itu, besar harapan
kami agar para guru dapat menggunakan ruang tersebut secara optimum dan berkala
agar dapat dimanfaatkan sepenuhnya untuk tujuan memperkasakan pendidikan STEM.”
tambahnya.
Sehingga kini, PDG telah
memberikan sokongan kepada 1,394 guru STEM dari 145 Pejabat Pendidikan Daerah
(PPD) di seluruh Malaysia. Sejak pelancaran PDG, sebanyak 499 guru dari Kohort
1, Kohort 2, dan Kohort 3 telah berjaya menamatkan program ini dengan cemerlang
dan dianugerahkan gelaran “Duta Guru”. Tahun ini, PDG telah memasuki Kohort 6,
dengan sasaran lebih 1,020 guru baru, di mana pendaftaran masih dibuka sehingga
30 September 2024.
“Memperkasakan Ilmu” -
Program Duta Guru, sebuah inisiatif pendidikan di bawah Yayasan PETRONAS,
adalah kerjasama antara Yayasan PETRONAS dan Kementerian Pendidikan Malaysia
melalui Bahagian Perancangan dan Penyelidikan Dasar Pendidikan, bersama Teach
For Malaysia dan Petrosains sebagai rakan pelaksana. Dilancarkan pada tahun
2019, program ini bertujuan untuk mengukuhkan kemahiran 4,500 orang guru
teladan dalam Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) dalam penyampaian subjek
Sains, Teknologi, Kejuruteraan, dan Matematik (STEM) kepada pelajar.
BERNAMA NEWS ONLINE
Tiada ulasan:
Catat Ulasan