PUTRAJAYA: Perdana Menteri Datuk
Seri Anwar Ibrahim hari ini memberi jaminan bahawa kerajaan mengekalkan kuota
bumiputera lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bagi melanjutkan pengajian ke
peringkat matrikulasi.
Anwar yang juga Menteri Kewangan
berkata kuota itu tetap dikekalkan kerana ia termaktub dalam Perkara 153
Perlembagaan Persekutuan yang melibatkan kedudukan istimewa orang Melayu serta
kaum bumiputera di Sabah dan Sarawak.
“Kita ambil jalan yang kita
anggap adil dan munasabah, kalau dia (pelajar) itu rakyat dan warga kita, kita
harus pelihara tapi kita juga terima kenyataan mengenai meritokrasi, jadi tanpa
mengira kaum dan wilayah, dapat 10A kita beri jaminan tempat dalam matrikulasi.
“Kuota bumiputera tetap
dikekalkan kerana ini keputusan yang sudah lama berkait dengan Perlembagaan,
jaminan masa depan bumiputera (dan) Melayu supaya tidak berlaku kesenjangan,
jadi penjawat awam harus faham, meritokrasi kita pertahankan, tapi keadilan juga
kita pertahankan,” kata beliau ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan Bersama
Warga Jabatan Perdana Menteri (JPM) di sini hari ini.
Semalam, Anwar mengumumkan semua
lepasan SPM yang mendapat keputusan 10A ke atas tanpa mengira kaum dan wilayah
akan ditawarkan peluang melanjutkan pengajian pada peringkat matrikulasi
bermula tahun ini. Ia merupakan keputusan yang dipersetujui Jemaah Menteri pada
mesyuarat Jumaat lepas.
Anwar berkata walaupun keputusan
itu memberikan pengiktirafan pada kecemerlangan tanpa mengira kaum dan latar
belakang, namun kerajaan pada masa sama tegas mempertahankan kuota bumiputera.
“Saya percaya perkara ini akan
dijelaskan dengan lebih teliti hari ini. Fadhlina (Sidek) (Menteri Pendidikan)
akan cerakinkan secara lebih jelas,” kata beliau.
Beliau berharap pengumuman
berkaitan jaminan tempat matrikulasi kepada calon cemerlang SPM tanpa mengira
kaum atau latar belakang itu akan membantu negara mengiktiraf setiap calon
warganegara yang cemerlang dalam peperiksaan berkenaan.
“Sesiapa dapat 10A tanpa mengira
kaum dan wilayah, kita (kerajaan) berikan jaminan tempat di matrikulasi. Maka,
kita ambil jalan yang kita anggap adil dan munasabah,” kata Perdana Menteri.
Anwar berkata keputusan itu
menggambarkan bahawa kerajaan MADANI amat prihatin dan mahu negara lebih maju
dengan mengutamakan prinsip kesaksamaan yang menjadi moto dalam pentadbiran
negara.
“Bidang pendidikan ialah wahana
terbaik untuk mencapai mobiliti sosial. Yang terbaik, terpintar, paling
cemerlang harus diberikan galakan tetapi jangan dipinggirkan yang miskin,” kata
beliau.
Sementara itu, Anwar dalam
catatan menerusi Facebook hari ini menyatakan bahawa di samping melaksanakan
sistem berteraskan meritokrasi, kerajaan tetap mempertahankan keadilan atau
prinsip Justice as Fairness seperti yang diungkapkan oleh sarjana Harvard, John
Rawls.
"Perkara ini perlu difahami
oleh sesetengah kelompok elit kota yang lantang bicara soal meritokrasi, namun
tidak memikirkan adakah adil untuk membiarkan pelajar di Manik Urai atau Kapit
di luar bandar bersaing dengan pelajar di Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK)
atau Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Chung Ling yang lengkap dengan prasarana
terbaik?" kata Anwar.
Perdana Menteri berkata sekiranya
meritokrasi dilaksanakan secara melulu, golongan yang miskin dan terpinggir
akan kekal dalam keadaan sedemikian.
"Inilah yang dikatakan
sebagai The Tyranny of Merit seperti dihujahkan oleh sarjana Amerika, Michael
Sandel," kata beliau.
Anwar berkata kerajaan hari ini
yang mengangkat gagasan MADANI harus lebih prihatin terhadap mereka yang tersisih,
terbiar dan terpinggir.
Meritokrasi katanya, perlu
dipertahankan iaitu dengan memberi lebih peluang dan galakan kepada yang
terpintar dan terbaik untuk memastikan Malaysia maju, tetapi jangan sesekali
melupakan mereka yang miskin dan terpinggir.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan