KUALA LUMPUR: Seramai 50,096 pelajar termasuk pelajar baharu institut pengajian tinggi awam (IPTA), politeknik, kolej komuniti, matrikulasi dan institut pendidikan guru (IPG) layak mendapat bantuan subsidi pembelian tiket penerbangan.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata subsidi berkenaan menerusi program FLYsiswa diberikan kepada pelajar yang layak bagi perjalanan ke Semenanjung, Sabah, Sarawak dan Labuan atau sebaliknya.
"Sehingga kini seramai 50,096 pelajar layak untuk mendapat bantuan subsidi FLYsiswa.
"Seramai 35,994 atau 72 peratus daripada mereka yang layak telah mengemukakan permohonan baucar daripada syarikat-syarkat penerbangan.
"Justeru, kita harap baki 28 peratus atau hampir 14,000 pelajar yang layak untuk menebus bantuan berkenaan dapat berbuat demikian selewat-lewatnya pada 31 Disember ini," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis peluncuran FLYsiswa di Kompleks Perdanasiswa Universiti Malaya (UM) di sini, hari ini.
Majlis disempurnakan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof. Hadir sama Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.
Kerajaan Perpaduan sebelum ini memperkenal ikhtiar FLYsiswa, iaitu bantuan subsidi pembelian tiket penerbangan bagi mengurangkan beban kewangan pelajar kurang berkemampuan yang ingin pulang ke kampung.
Mengulas lanjut, Anthony berkata IPTA paling ramai pelajar mendapat manfaat daripada pengenalan FLYsiswa adalah dari Universiti Teknologi MARA (UiTM) dengan 7,791 pelajar, diikuti Universiti Malaysia Sabah (UMS) (6,280).
Selain itu, Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) (4,975), Universiti Pendidikan Sultan Idris (4,780) dan Universiti Malaya (UM) (2,267).
"Semua pelajar dinasihatkan untuk menerapkan kemahiran perancangan ke depan atau 'forward planning' yang baik.
"Difahamkan kalendar pengajian sesi akademik 2023/2024 bagi UM dan beberapa universiti lain telah diterbitkan.
"Dengan itu, pelajar-pelajar perlu merancang perjalanan dari awal untuk memanfaatkan harga tambang penerbangan yang terbaik walaupun kerajaan telah memperuntukkan bantuan subsidi sebanyak RM300," katanya.
Anthony berkata kerajaan sedang melaksanakan pelbagai langkah untuk menggalakkan penambahan kapasiti penerbangan, disamping memperkenalkan inisiatif seperti FLYsiswa untuk meringankan beban kos perjalanan.
Katanya, mekanisme tuntutan inisiatif Flysiswa berkenaan amat mudah dengan segala proses dan permohonan boleh dibuat secara dalam talian.
"Setakat ini, kita tentukan RM300 terlebih dahulu. Kita akan lihat kemampuan kewangan kerajaaan dari masa ke semasa. Jika perlu kita akan tingkatkan nilai subsidi.
"Selain itu, kita maklum ada permintaan untuk meluaskan kategori, jadi kita kena lihat pertimbangan itu. Bagi kita kalau ada sumber kewangan besar sudah tentu nak bantu ramai orang termasuk mereka yang belajar di institut pengajian tinggi swasta (IPTS), tetapi jumlah pelajar IPTS agak besar.
"Kita mulakan dulu tahun ini, dengan pengalaman tahun ini kita akan tambah baik untuk tahun-tahun seterusnya," katanya.
BERITA HARIAN ONLINE
Tiada ulasan:
Catat Ulasan