WAJIBKAN PENDIDIKAN 12 TAHUN MAMPU ATASI ISU KECICIRAN PELAJAR


Kerajaan perlu wajibkan pendidikan sehingga SPM elak impak besar kepada rakyat dan negara

KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu mewajibkan pendidikan sehingga Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bagi menangani isu keciciran pembelajaran peringkat menengah, yang jika gagal diatasi, dikhuatiri memberi impak besar kepada rakyat dan negara.

Syor berkenaan disuarakan pakar pendidikan yang turut berpandangan, sistem persekolahan negara sepatutnya diwajibkan selama 12 tahun, bermula peringkat prasekolah lagi.

Bagi bekas Ketua Pengarah Pendidikan, Tan Sri Alimuddin Mat Dom, kesan keciciran pelajar pada peringkat menengah akan memberi impak besar kepada rakyat dan negara.

"Kalau pelajar cicir, kemungkinan besar tak ambil SPM, ini satu kerugian. SPM umpama pasport untuk lanjut pelajaran ke peringkat lebih tinggi seperti matrikulasi, diploma dan sebagainya. Malah tanpa SPM, akan beri halangan pada aspek pekerjaan dan pendapatan.

"Contoh, kalau bekerja jadi kerani, kalau ada SPM, mungkin gaji akan lebih tinggi berbanding tiada sijil berkenaan. Sebab itu, SPM adalah pasport untuk semua, sijil ini perlu ada," katanya kepada BH, semalam.

Beliau mengulas laporan muka depan BH semalam mengenai Inisiatif Reformasi Pendidikan bertunjangkan enam teras utama yang akan menjadi asas kepada penyediaan pelan baharu pembangunan pendidikan negara serta menyelesaikan masalah keciciran pembelajaran.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek dipetik berkata, antara tumpuan dalam reformasi itu berkait dasar pendidikan wajib yang ketika ini hanya mewajibkan ibu bapa menghantar anak ke sekolah rendah, menyebabkan ada pelajar tidak menyambung pendidikan menengah, sekali gus tidak memiliki SPM.

Di bawah inisiatif itu juga, Kementerian Pendidikan (KPM) menggariskan perlunya perubahan membabitkan Penstrukturan Sistem Prasekolah; Intervensi Kurikulum; Sains, Matematik, Kejuruteraan dan Teknologi (STEM) serta Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

Selain itu, reformasi pendidikan akan membabitkan Dasar Memartabatkan Bahasa Malaysia dan Memperkukuhkan Bahasa Inggeris (MBMMBI) serta memperkukuhkan Dasar Pendidikan Digital (DPD) bagi manfaat seluruh pelajar di negara ini.

Mengikut Akta Pendidikan 1996, Seksyen 29A(2) mewajibkan ibu bapa menghantar anak mengikuti pelajaran rendah selama enam tahun. Sekiranya gagal, ibu bapa boleh didenda sehingga RM5,000 atau penjara sehingga enam bulan atau kedua-duanya sekali.

Perlu disokong semua pihak

Alimuddin berkata, reformasi pendidikan bagi mewajibkan pendidikan menengah perlu disokong semua pihak supaya semua pelajar dapat menyelesaikan peringkat persekolahan rendah dan menengah, sekali gus menangani isu keciciran pembelajaran yang sewajarnya mencetuskan kebimbangan.

"Isu keciciran pembelajaran adalah tanggungjawab bersama dan disebabkan itu, semua pihak perlu memainkan peranan masing-masing. Pada peringkat sekolah, guru perlu main peranan dalam menjalankan kempen dan hala tuju untuk pelajar selepas tamat belajar.

"Kaunselor juga perlu main peranan kalau lihat ada pelajar tak minat belajar. Selain itu, adakan kempen mengenai hala tuju kerja ikut minat dan aliran diambil mereka. Perlu ada satu laluan dan perancangan masa depan supaya pelajar nampak apa yang boleh mereka lakukan selepas habis sekolah.

"Ia seterusnya dapat mengembalikan minat mereka untuk sambung belajar ke peringkat lebih tinggi. Boleh jemput pensyarah universiti atau bekas pelajar yang sudah masuk bidang profesional datang ke sekolah supaya dapat timbulkan minat pelajar," katanya.

Langkah lebih baik

Sementara itu, Pensyarah Kanan Pusat Kajian Kepelbagaian Pendidikan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Anuar Ahmad mengesyorkan KPM mewajibkan pendidikan 12 tahun, bermula peringkat prasekolah sehingga SPM bagi menyelesaikan masalah keciciran pelajar.

"Ketika ini hanya perlu dapat pendidikan wajib selama enam tahun, iaitu sekolah rendah. Negara maju sudah lama laksana pendidikan wajib 11 tahun, ada sesetengah wajibkan sembilan tahun, iaitu enam tahun sekolah rendah dan tiga tahun sekolah menengah.

"Saya berpendapat pendidikan wajib selama 12 tahun adalah sesuatu yang lebih baik, iaitu setahun di prasekolah, enam tahun sekolah rendah dan lima tahun sekolah menengah berbanding hanya enam tahun sekolah rendah seperti sekarang," katanya.

Tambahnya, reformasi pendidikan sudah lama dibincangkan, namun sehingga kini belum ada garis masa dan perincian yang jelas.

"Apa yang perlu dilakukan KPM adalah menjelaskan perkara-perkara ini supaya ia tidak terus menjadi tanda tanya kepada ibu bapa," katanya sambil berpandangan langkah mewajibkan pendidikan prasekolah seawal usia enam tahun akan turut membantu menyelesaikan masalah keciciran murid.

Katanya, United Kingdom (UK) sudah memulakan pendidikan prasekolah kepada kanak-kanak pada usia empat tahun, malah Filipina mewajibkan prasekolah ketika usia enam tahun.

"Mewajibkan pendidikan bermula usia tujuh tahun dianggap sedikit terlewat dan boleh menjadi antara faktor yang menyumbang keciciran 3M, iaitu membaca, mengira dan menulis. Masalah keciciran berlaku apabila murid yang masuk Tahun Satu masih belum boleh membaca, menulis atau mengira.

"Masuk Tahun Dua, mereka masih belum dapat mengejar rakan-rakan lain sehingga ketinggalan di belakang. Tentu menyedihkan jika ada antara mereka mengambil keputusan tidak meneruskan pembelajaran di sekolah menengah," katanya

                                                                                                      

                                                                                           BERITA HARIAN ONLINE


 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan