KERAJAAN ADA KAEDAH SESUAI, JAMIN TAK 'KORBAN' KUOTA BUMIPUTERA – ZAMBRY


Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir di sidang media selepas melawat Institut Perubatan dan Pergigian Termaju (IPPT), Universiti Sains Malaysia (USM) di Bertam di Pulau Pinang. -Foto NSTP/MIKAIL ONG

KEPALA BATAS: Jaminan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semua lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang memperoleh keputusan 10A dan ke atas akan ditawarkan melanjutkan pengajian peringkat matrikulasi dan program asasi universiti awam menunjukkan kerajaan sudah bersedia melaksanakan perkara itu.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, berkata kerajaan mempunyai kaedah sesuai untuk memastikan semua pelajar cemerlang mendapat tempat melanjutkan pengajian termasuk pada peringkat matrikulasi tanpa 'mengorbankan' kuota yang diperuntukkan kepada Bumiputera.

"Mungkin ada yang mempersoalkan itu dan ini...ya mereka berhak bertanya perkara berkenaan tapi yang paling penting ialah semua yang mendapat 10A ke atas seperti disebutkan Perdana Menteri itu, kita akan 'fasilitate' (memudahkan).

"Itu sudah pun dijelaskan Perdana Menteri tanpa mengorbankan kuota yang telah diperuntukan kerana nak bagi tempat itu. Tapi yang pasti, semua pelajar yang mendapat 10A ke atas akan diterima dan diusahakan sehingga kita berikan tempat kepada mereka kerana mereka adalah pelajar terbaik," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Sebelum ini, Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong dilaporkan mempersoalkan bagaimana program matrikulasi dapat menampung semua pelajar yang layak tanpa menjejaskan kuota Bumiputera.

Ka Siong berkata, meskipun Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek dan Zambry telah mengeluarkan kenyataan berhubung perkara itu, namun mereka tidak menggariskan secara khusus bagaimana perkara itu akan dilaksanakan berdasarkan dua prinsip utama seperti diumumkan Perdana Menteri.

Zambry turut memberi jaminan bahawa semua permohonan yang diterima akan diproses sebelum proses penempatan pelajar dilakukan berdasarkan ketersediaan tempat pengajian untuk mereka.

"Ini berbeza daripada segi bilangan sebab program matrikulasi dilaksanakan oleh Kementerian Pendidikan (KPM) dan ia bergantung kepada jumlah pelajar yang ambil peperiksaan dan juga akan diberikan tempat berdasarkan 'availability' (ketersediaan).

"Seperti kita tahu, ada pelajar itu akan mendapat tempat di matrikulasi dan ada pula kita bagi peringkat universiti dan kita juga ada program program asasi yang akan kita bahagi-bahagikan (penempatan pelajar)," jelasnya.

Beliau turut menegaskan tidak wajar untuk terus mempersoalkan sama ada pelajar cemerlang terbabit benar-benar akan mendapat tempat atau tidak.

"Apabila kita menyatakan bahawa kita akan memberikan tempat, maka kita akan bagi tempat. Jadi jangan tanya soal bagaimana (caranya nak bagi tempat) jadi yang paling mustahak ialah mereka yang mendapat kelulusan 10A ke atas itu akan diberikan tempat," katanya.

Terdahulu, Zambry melawat Institut Perubatan dan Pergigian Termaju (IPPT), Universiti Sains Malaysia (USM) di Bertam yang berjaya mendapat pengiktirafan BrachyAcademy sebuah organisasi berpangkalan di Belanda sebagai sebagai pusat kecemerlangan pendidikan BrachyAcademy.

IPPT menjadi satu-satunya pusat brakiterapi yang merawat kanser lidah dalam jumlah tinggi menggunakan teknik dikenali sebagai HyBIRT dan menjadi perintis kepada teknik itu di seluruh dunia.

                                                                                                       

                                                                                            BERITA HARIAN ONLINE

Tiada ulasan:

Catat Ulasan