KUALA
LUMPUR: Kementerian Pendidikan (KPM) memberi jaminan isu pelajar cemerlang 10A
Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang belum mendapat tempat untuk melanjutkan
pengajian akan diselesaikan.
Menteri
Pendidikan, Fadhlina Sidek, berkata tiada pelajar cemerlang yang akan tercicir
dan pihak kementerian meminta semua pelajar dan ibu bapa supaya tidak risau
mengenai perkara itu.
"Proses
rayuan bagi kemasukan ke Program Matrikulasi KPM sudah selesai dan keputusannya
diumumkan pada hari ini.
"Saya
mengambil maklum masih terdapat pelajar cemerlang 10A SPM yang memohon, namun
belum mendapat tempat untuk melanjutkan pengajian.
"Jangan
risau, tiada pelajar cemerlang yang akan tercicir, beri sedikit masa dan saya
berjanji penempatan pelajar cemerlang yang belum mendapat tempat akan dapat
diselesaikan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Pada
masa sama, Fadhlina berkata, KPM bersama-sama Kementerian Pendidikan Tinggi
(KPT) mengorak langkah dan mengambil pendekatan proaktif bagi memastikan
peluang untuk melanjutkan pengajian diberi kepada semua pelajar cemerlang SPM.
Katanya,
inisiatif kerajaan MADANI memastikan semua pelajar cemerlang SPM yang
memperoleh keputusan 10A mendapat tempat untuk melanjutkan pengajian adalah
satu langkah berani memastikan tiada yang terpinggir.
"Iltizam
kerajaan MADANI untuk memastikan hak Bumiputera terus dipertahankan juga
terbukti menerusi pengekalan kuota Bumiputera sedia ada bagi Program
Matrikulasi KPM," katanya.
BERITA HARIAN ONLINE
Tiada ulasan:
Catat Ulasan