HAMPIR
setiap tahun pada Ogos, teriakan Merdeka berkumandang di segenap pelosok tanah
air. Ungkapan ini bertujuan menzahirkan rasa gembira atas nikmat kemerdekaan
diperoleh Tanah Melayu pada 31 Ogos 1957.
Tahun
ini, Malaysia meraikan kemerdekaan ke-67 dan sepatutnya rakyat tidak melupakan
jasa pejuang kemerdekaan tanah air yang sanggup berkorban dengan darah,
keringat dan air mata.
Rakyat
berbilang kaum dan agama ini perlu melaksanakan tanggungjawab masing-masing
bagi mengisi agenda kemerdekaan di samping itu, memahami erti dan kepentingan
mewujudkan sebuah negara bangsa merdeka dan berdaulat.
Kemerdekaan
negara tidak akan bermakna jika anak bangsa tidak menjadi maju, berpendidikan
tinggi, berkemahiran dan berfungsi sebagai masyarakat bertamadun.
Sebab
itu pemimpin negara terdahulu berusaha menyediakan pelbagai perkara asas untuk
membangunkan negara antaranya prasarana pendidikan kerana ia asas untuk
membangun dan menjamin kesejahteraan rakyat.
Justeru,
kerajaan menyediakan peruntukan besar untuk membangunkan sistem pendidikan
negara dengan mendirikan sekolah rendah, menengah dan pusat pengajian tinggi
semata-mata untuk memajukan anak bangsa.
Dasar
Pendidikan Kebangsaan digubal bermula dengan Penyata Razak 1956 yang dipimpin
Menteri Pelajaran ketika itu, Tun Abdul Razak Hussein.
Menerusi
Penyata Razak, kerajaan berusaha membangunkan sekolah di seluruh negara,
terutama luar bandar disebabkan banyak sekolah rendah dan menengah dibangunkan
di kawasan bandar sebelum negara mencapai kemerdekaan.
Desakan
daripada pelbagai pihak terutama guru, menyebabkan kerajaan menambah lebih
banyak peruntukan bagi membina sekolah rendah dan sekolah menengah.
Ini
bermakna kerajaan bertanggungjawab menyediakan akses pendidikan kepada semua
rakyat bagi membolehkan mereka mencapai mobiliti sosial, di samping mampu
menyumbang kepada pembangunan negara. Akhirnya, kemajuan dalam bidang
pendidikan memberi impak besar kepada pembangunan negara.
Pada
peringkat awal, perkembangan bidang pendidikan banyak menyediakan peluang
pekerjaan khususnya dalam sektor perguruan, pentadbiran dan sains sosial.
Justeru, pusat pengajian tinggi banyak menawarkan kursus bidang berkenaan.
Dalam
pada itu, kursus dalam bidang profesional ditawarkan pusat pengajian tinggi
walaupun tidak begitu banyak dan meluas. Mereka yang mendapat pendidikan
berkualiti di bandar dengan penguasaan bahasa Inggeris membolehkan mereka
menceburi bidang undang-undang, perakaunan, kejuruteraan dan perubatan.
Pendidikan
teknikal di sekolah menengah turut berkembang pada peringkat pengajian tinggi.
Justeru, beberapa universiti turut menubuhkan fakulti kejuruteraan, menjadikan
bidang itu semakin berkembang. Hakikatnya, pembangunan fizikal negara turut
banyak disumbangkan graduan dalam bidang kejuruteraan.
Selain
itu, kerajaan memberi peluang pekerjaan kepada pelajar menamatkan pengajian
pada peringkat menengah dan pendidikan vokasional. Bagi lepasan sekolah
menengah, mereka diambil bekerja sebagai staf sokongan seperti kerani, pembantu
pejabat, pembantu keselamatan dan sebagainya. Ramai menyertai pasukan
keselamatan seperti polis, tentera dan bomba.
Mengarusperdanakan
TVET
Bagi
lepasan vokasional, kebanyakan mereka menjawat jawatan sebagai juruteknik.
Inisiatif itu diteruskan kini dengan mengarusperdanakan pendidikan Program
Pendidikan dan Latihan Vokasional (TVET) bagi membolehkan bakat cemerlang
negara dijayakan.
Di
bawah kepimpinan Abdul Razak, pembangunan negara disandarkan kepada Dasar
Ekonomi Baru (DEB) bermatlamat membasmi kemiskinan rakyat, di samping
mewujudkan perpaduan nasional.
Sehubungan
itu, banyak peruntukan kewangan disediakan untuk menghantar pelajar pintar
terutama Bumiputera ke luar negara, khususnya ke Amerika Syarikat (AS),
Australia dan Eropah.
Apabila
Tun Dr Mahathir Mohamad menjadi Perdana Menteri pada 1982, kerajaan
mengembangkan akses pengajian tinggi dengan menghantar pelajar ke Jepun dan Korea
Selatan di bawah Dasar Pandang ke Timur.
Semua
ini menunjukkan betapa seriusnya kerajaan membangun bakat dalam kalangan
pelajar, akhirnya menyediakan pembangunan modal insan untuk menyumbang kepada
pembangunan negara.
Pada
era 2000, bidang pendidikan tinggi terus diperkasakan dengan penubuhan
Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) mulai 2006. Transformasi ini menunjukkan
kepentingan pendidikan diurus tadbir secara profesional kementerian berbeza.
Kementerian
Pendidikan (KPM) menguruskan pelajar sekolah dan ratusan ribu guru dari
peringkat prasekolah hingga ke Tingkatan Enam dan kolej matrikulasi, manakala
KPT mengurus dan menyelaras universiti awam, universiti swasta, politeknik dan
kolej komuniti.
Justeru,
Pelan Pendidikan Tinggi Negara (PPTN) digubal untuk memastikan pelaksanaan
sistem pendidikan tinggi berkualiti, berakreditasi, bertaraf global serta mampu
memenuhi kebolehpasaran pekerjaan dalam pelbagai bidang.
Lebih
signifikan, pendidikan tinggi negara adalah benteng terakhir untuk
memartabatkan Dasar Pendidikan Nasional, sekali gus memenuhi kriteria
pendidikan global Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa
Bersatu (UNESCO).
Pada
masa kini, rakyat sentiasa melihat bidang pendidikan sebagai keutamaan perlu
dijayakan kerajaan dengan sebaiknya. Hakikatnya, sejak merdeka sehingga kini,
kerajaan berusaha menyediakan prasarana terbaik dalam bidang pendidikan, dari
peringkat rendah sehingga ke peringkat pendidikan tinggi.
Malah
hampir setiap tahun, peruntukan belanjawan pendidikan sentiasa mengatasi bidang
lain seperti kesihatan, pertanian dan pembangunan luar bandar.
Suatu
yang menarik, penubuhan kampus universiti di setiap negeri turut memberi impak
kepada pembangunan pada peringkat setempat dan nasional. Jelas sekali selepas
negara mencapai kemerdekaan pelbagai inisiatif dan dasar digubal serta
dilaksanakan dalam kerangka membina dan membangun negara bangsa.
Merentas
enam dekad negara merdeka, bidang pendidikan kekal menjadi pasak utama dalam
pembangunan serta kemajuan negara melalui pelbagai dasar berkaitan.
Transformasi
bidang pendidikan turut dijayakan selaras dengan perkembangan zaman, bukan
sekadar menjana peluang pekerjaan bahkan membangunkan diri, keluarga,
masyarakat dan negara.
Penulis
adalah Jumaah Majlis Diraja Johor
BERITA HARIAN ONLINE
Tiada ulasan:
Catat Ulasan