NILAI-Pemimpin pendidikan perlu lebih efisien dalam menangani cabaran transformasi teknologi digital bagi memastikan sistem pendidikan negara terus relevan dan berdaya saing, kata Ketua Pengarah Pendidikan Azman Adnan.
Beliau berkata pemimpin
pendidikan yang terdiri daripada pengetua dan guru besar (PGB) tidak boleh lagi
bergantung kepada kaedah tradisional semata-mata sebaliknya perlu merangka
strategi baharu yang berasaskan teknologi digital seiring perkembangan dunia
hari ini khususnya dalam pendidikan.
“PGB perlu menjadi
teladan yang baik dalam penggunaan teknologi digital. Kita perlu menunjukkan
komitmen yang tinggi dalam membudayakan penggunaan teknologi dalam kalangan
warga pendidik,” katanya ketika berucap merasmikan Majlis Komensmen Institut
Aminuddin Baki (IAB) ke-23 di Universiti Sains Islam Malaysia di sini hari ini.
Majlis itu meraikan 1,375
graduan Program Kelayakan Profesional Pemimpin Pendidikan Kebangsaan (NPQEL)
yang terdiri daripada 685 graduan ambilan 2022 dan 690 graduan ambilan 2023.
Azman berkata PGB perlu
memiliki visi jelas dan berani mengambil langkah-langkah transformatif selain
menjadi ejen perubahan yang mendorong inovasi serta kreativiti dalam kalangan
warga pendidik.
“Saya ingin menekankan
bahawa peranan pemimpin pendidikan dalam era digital ini amat penting. Kita
perlu menjadi pemacu kepada transformasi digital dalam sistem pendidikan kita.
Hanya dengan cara ini, kita dapat melahirkan generasi yang benar-benar bersedia
untuk menghadapi cabaran masa depan.
“Senario paling ketara
ialah apabila kita berhadapan dengan kepentingan untuk mempraktikkan gaya
kepimpinan digital agar dapat bergerak sepantas arus perubahan kini. Tahap
kompetensi kepimpinan pendidikan perlu dipertingkat melalui pembudayaan ilmu
secara kendiri,” katanya.
Selain itu, Azman berkata
Kementerian Pendidikan (KPM) menerusi Dasar Pendidikan Digital komited dalam
memastikan warga pendidik menjadi kompeten digital bagi melahirkan murid yang
fasih digital.
Beliau berkata program
NPQEL, yang menjadi antara inisiatif KPM bagi melatih bakal pemimpin sekolah,
dapat memastikan warga pendidik memacu pendidikan digital dalam ekosistem
sekolah masing-masing.
“Kita mengharapkan semua
pengetua dan guru besar di seluruh negara yang jumlahnya seramai 10,235 orang
juga mempunyai daya wawasan kepimpinan digital,” katanya.
Penerima Anugerah Graduan
Cemerlang NPQEL kategori sekolah menengah bagi tahun 2022 Junaidah Kamarudin
pula berkata latihan selama 10 bulan itu membantu beliau membina keyakinan diri
untuk menjadi seorang pengetua sekolah yang berkaliber.
“Dalam tempoh program
tersebut, pendedahan telah diberikan dari segi pelbagai kompetensi untuk
menjadi seorang pemimpin di sekolah dan insya-Allah, saya akan gunakan semua
ilmu yang dipelajari untuk mentadbir sekolah di mana saya kini bertugas,” kata
Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan Pantai Remis itu.
Senada dengan beliau,
penerima Anugerah Graduan Cemerlang NPQEL kategori sekolah menengah bagi tahun
2023 Janggil Apak berpendapat program itu membantu mengukuhkan ilmu pengetahuan
dan keyakinan diri.
“Di peringkat awal, dari
segi tahap keyakinan memang sangat rendah tetapi apabila kita sudah menghampiri
bulan kesepuluh, tahap keyakinan semakin tinggi dan sekarang, kalau diberi
peluang untuk menjadi pengetua di mana-mana sekolah, kita sudah bersedia,” katanya
yang kini bertugas di Sabah.
NPQEL adalah kursus bagi
melatih kumpulan pemimpin pelapis yang sudah melepasi proses taksiran khas oleh
IAB.
Ia juga satu inisiatif
kepimpinan dalam Anjakan Kelima Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia dalam
memastikan kepimpinan berprestasi tinggi di sekolah.
BERNAMA NEWS ONLINE
Tiada ulasan:
Catat Ulasan