PUTRAJAYA- Kerajaan dalam peringkat awal membangunkan suatu silibus atau disiplin akademik mengenai Islamofobia dan cara menanganinya bagi institusi pengajian tinggi, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan.
Beliau berkata silibus
itu sedang diteliti Kementerian Pendidikan Tinggi yang turut mengadakan
perbincangan dengan beberapa universiti luar negara yang telah menawarkan
kursus sedemikian.
"Kami baru-baru ini
juga adakan pertemuan dengan Persatuan Saintis Sosial Muslim dan beberapa
persatuan lain untuk membincangkan pembentukan satu disiplin akademik baharu
untuk tangani islamofobia secara tuntas.
"Insya-Allah dalam
masa terdekat, akan ada penawaran untuk program berkenaan," katanya kepada
pemberita selepas Usrah MADANI 4.0 yang bertemakan "Multi-faith Community
Interaction on Islamophobia" di sini, hari ini.
Zulkifli berkata
pendidikan sedemikian adalah penting untuk menangani kejahilan masyarakat pada
erti dan pengajaran sebenar Islam, yang menjadi antara punca utama berlakunya
rasa gusar dan takut kepada Islam dan umatnya.
"Saya mengajak
rakyat Malaysia, semua bangsa, semua agama untuk kita sama-sama cuba memahami
antara satu sama lain kerana itu merupakan pendekatan terbaik bagi menangani
isu Islamofobia serta isu prejudis kaum dan sebagainya.
"Kita perlu jadi
masyarakat yang belajar untuk mengenali antara satu sama lain," katanya.
Sementara itu, usrah atau
syarahan hari ini disampaikan oleh Prof Khaled Beydoun, seorang pensyarah
undang-undang dari Arizona States University, Amerika Syarikat yang terkenal
kerana kelantangannya dalam mengulas isu-isu berkaitan Islamofobia.
Khaled berkata menjadi
tanggungjawab setiap umat Islam untuk berinteraksi dengan penganut agama lain
dan berbual perkara yang tidak menyenangkan dengan mereka berhubung ajaran
Islam yang sebenar.
Beliau berkata Malaysia
berpotensi menjadi pusat wacana intelektual dalam perkara itu dan boleh
menerajui ke arah memecahkan 'penjajahan' mental moden dengan memerangi salah
faham yang berleluasa terhadap Islam.
"Kamu (rakyat
Malaysia) mempunyai beberapa universiti Islam terbaik, pusat pembelajaran dan
pemimpin. Di sinilah persidangan dan pertukaran intelektual perlu berlaku.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan