ATASI ISU KEMEROSOTAN STEM DALAM KURIKULUM PERSEKOLAHAN 2027



 

Keputusan permohonan melanjutkan pengajian ke universiti awam (UA), politeknik, Kolej Komuniti (KK) dan Institusi Latihan Kemahiran Awam (ILKA) bagi pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) diumumkan semalam melalui Unit Pusat Universiti (UPU). Pada minggu lalu pula, nama yang layak mengikuti Program Matrikulasi di bawah Kementerian Pendidikan (KPM) di seluruh negara dikeluarkan. Sementara itu, tawaran mengikuti temu duga dan pengajian ke institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) satu demi satu tiba di e-mel ibu bapa dan calon.

Sehingga semua pelajar berkenaan masuk ke pusat matrikulasi, universiti dan institusi pengajian tinggi (IPT) untuk menyambung pendidikan, kita tidak akan memperoleh jumlah sebenar 'calon siswazah' termasuk 'pekerja mahir masa depan' yang bakal mengisi kekosongan diperlukan negara, terutama dalam sektor penting seperti teknologi tinggi. Namun, berdasarkan senario semasa menyaksikan kekurangan pelajar dalam bidang Sains, Matematik, Kejuruteraan dan Teknologi (STEM) mutakhir, kita hampir pasti akan terus mengalami 'krisis' ini.

Ia diburukkan lagi dengan trend sejumlah besar lepasan SPM cenderung memilih bekerja dalam industri ekonomi gig berbanding menyambung pelajaran kerana tidak sanggup menanggung hutang atau mengeluarkan wang membiayai pengajian di universiti atau kolej. Kesan daripada trend dilihat berlarutan sejak lima tahun kebelakangan ini juga menyebabkan beberapa program pengajian seperti kejuruteraan kemerosotan pelajar di beberapa institusi pengajian tinggi (IPT) sehingga program itu dijumudkan.  

Data terkini mendedahkan hanya 15.2 peratus pelajar memilih aliran sains bagi tahun akademik 2023. - Foto hiasan

Kita memahami pandangan ahli akademik ini masih memerlukan kajian lanjutan dan terperinci, termasuk secara kualitatif serta kuantitatif di sekolah, tetapi senario kemerosotan jumlah dan minat pelajar dalam STEM itu perlu diberikan perhatian serius oleh Kementerian Pendidikan (KPM). Apatah lagi, negara juga bakal melaksanakan Kurikulum Persekolahan 2027 yang antara matlamatnya adalah melahirkan insan sejahtera berdaya saing pada peringkat global, sekali gus menjadikan STEM antara aspek penting untuk direformasikan, termasuk dalam konteks sukatan pelajaran serta PdP. 

Bagaimanapun, senario kemerosotan pelajar dalam bidang STEM di IPT yang mengakibatkan negara menghadapi krisis kekurangan tenaga mahir seperti industri elektrik dan elektronik memerlukan 50,000 jurutera sedangkan kita mampu menghasilkan 5,000 siswazah setahun adalah simptom kepada masalah lebih mendasar lagi. Data terkini mendedahkan realiti pahit hanya 15.2 peratus pelajar memilih aliran sains bagi tahun akademik 2023, manakala keputusan peperiksaan SPM 2023 menunjukkan minat murid semakin merosot terhadap pendidikan STEM, iaitu seramai 85,706 pelajar gagal memenuhi kriteria lulus bagi subjek Matematik dan 25,174 (Sains).

Pendedahan laporan BH semalam turut menunjukkan punca krisis ini bukan sahaja pada kaedah pengajaran dan pembelajaran (PdP), bahkan sukatan mata pelajaran yang dianggap ahli akademik pendidikan sebagai terlampau tinggi di sekolah rendah hingga menyulitkan pembelajaran murid baru memasuki alam persekolahan. Pada masa sama, pengenalan Kemahiran Proses Sains (KPS) di sekolah rendah didakwa mengakibatkan murid tidak berminat dengan mata pelajaran terbabit yang dianggap kurang menarik, sedangkan ia sepatutnya menggunakan pendekatan lebih kepada aktiviti hands-on (amalan atau praktikal).

   

Tiada ulasan:

Catat Ulasan