Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi (dua dari kiri) menyerahkan replika kunci kepada Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh pada Majlis Penyerahan Projek Kolej Vokasional Labuan, hari ini. Foto BERNAMA |
LABUAN: Kementerian
Pendidikan Malaysia (KPM) meluluskan peruntukan keseluruhan RM162 juta untuk
tujuh projek pembangunan infrastruktur di pulau bebas cukai ini bagi tahun ini.
Menteri Kerja Raya, Datuk
Seri Alexander Nanta Linggi, berkata tiga daripada projek terbabit bernilai
RM114 juta kini dalam peringkat awal dan proses perolehan bagi projek ini
dijangka selesai sebelum akhir tahun ini.
"Tiga projek
tambahan dengan nilai gabungan RM24 juta dijadual untuk pelaksanaan tahun
ini...ia termasuk pembinaan blok baharu Program Pendidikan Khas Integrasi
(PPKI) dan kemudahan mesra orang kurang upaya (OKU) di Sekolah Menengah
Kebangsaan (SMK) Mutiara, pembinaan penggantian dan bangunan tambahan di SMK
Labuan dan pembinaan bangunan tambahan untuk prasekolah di Sekolah Kebangsaan
(SK) Patau-Patau.
"Selain itu, projek
membabitkan pembinaan blok bangunan dan kerja-kerja menaik taraf Kolej
Matrikulasi Labuan yang juga bernilai RM24 juta telah berjaya disiapkan pada
Mac 2024," katanya pada majlis penyerahan projek Kolej Vokasional Labuan
(LVC) hari ini.
Beliau menekankan bahawa
kerajaan Persekutuan mengutamakan projek pembangunan berdasarkan kesegeraan
dengan tujuan menyediakan kemudahan yang lebih baik untuk pelajar di Labuan.
"Kami berharap
inisiatif-inisiatif ini akan memberi banyak manfaat kepada persekitaran
pendidikan di sini," katanya.
Nanta Linggi turut
memberi jaminan bahawa kementeriannya bersama Jabatan Kerja Raya Labuan komited
untuk membimbing KPM dalam melaksanakan program pembangunan yang meningkatkan
ekosistem pendidikan negara dan memberi impak positif kepada masyarakat
setempat.
"Menteri Kerja Raya
mengakui cabaran yang dihadapi oleh pihak kontraktor dalam mendapatkan bahan
binaan tempatan dan selalunya memerlukan sumber dari Sabah, Sarawak dan Semenanjung
Malaysia," katanya.
Terdahulu beliau berkata,
projek LVC yang bermula 15 Disember 2019 telah siap pada 20 Mac 2024.
"Walaupun menghadapi
kesukaran mendapatkan bahan binaan dan sekatan pergerakan akibat COVID-19,
kontraktor berjaya menyiapkan projek itu," tambahnya.
Nanta berkata, kemudahan
baharu di LVC termasuk blok tambahan untuk bengkel seni kulinari, bengkel
teknologi elektrik untuk voltan rendah dan tinggi, bengkel kimpalan, bengkel
industri mesin dan bengkel automotif.
"Projek ini
merupakan satu peristiwa penting bagi masyarakat setempat, mencerminkan usaha
kerajaan dalam memperkasakan pendidikan vokasional serta meningkatkan bilangan
graduan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), sekali gus
menyumbang kepada pembangunan modal insan negara," katanya
BERITA HARIAN ONLINE
Tiada ulasan:
Catat Ulasan