KUALA
LUMPUR- Pelan Pembangunan Pendidikan Tinggi 2026-2035 yang sedang disediakan
Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) digarap secara holistik dengan menekankan
aspek pembangunan insaniah dan pengembangan minda mahasiswa, Dewan Rakyat
diberitahu hari ini.
Menteri
Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata hala tuju institusi
pengajian tinggi (IPT) di negara ini bukan sahaja menyediakan infrastruktur
pendidikan berkualiti, tetapi juga perlu merangkumi bidang pembelajaran yang
seiring dengan keperluan industri selain melahirkan mahasiswa seimbang.
“Universiti
kini bukan hanya berperanan untuk membangunkan aspek pendidikan, tetapi turut
merangkumi nilai manusiawi … membina manusia itu sendiri, membina otak dan
watak. Ini menjadi fokus kita dalam merumuskan Pelan Pembangunan Pendidikan
Tinggi 2026-2035 nanti.
“Ia
juga berkait rapat dengan future orientation kepada universiti … dalam konteks
universiti, IPT, politeknik ia melibatkan semakan semula sukatan pelajaran dan
kurikulum mereka yang kebiasaannya dibuat institusi masing-masing pada setiap
tiga hingga lima tahun,” katanya ketika menggulung perbahasan Rang
Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2025 peringkat jawatankuasa bagi kementerian
itu di Dewan Rakyat.
Beliau
berkata pendekatan itu termasuk melihat kepada kurikulum baharu atau bidang
alternatif lain yang semakin diperlukan seperti kecerdasan buatan (AI) dan
sektor elektrik dan elektronik (E&E).
Berhubung
peruntukan biasiswa dan dana penyelidikan, Zambry berkata menerusi Belanjawan
2025, KPT diperuntukkan keseluruhan RM220 juta untuk tujuan pembiayaan biasiswa
pelajar manakala geran penyelidikan pula sebanyak RM400 juta dan disokong
dengan dana penyelidikan di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi
(MOSTI) sebanyak RM190 juta.
Mengenai
pembangunan dan pembinaan infrastruktur IPT termasuk kolej komuniti baharu,
beliau berkata perkara itu perlu mengambil kira keperluan tempatan untuk
mengelakkan institusi ditutup akibat kekurangan penuntut, namun terdapat empat
politeknik baharu dirancang akan dibina tahun depan.
Mengulas
berkenaan kes buli yang berlaku di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia
(UPNM), Zambry berkata pendekatan yang menyeluruh diperlukan untuk
menyelesaikan masalah dan bukannya melihat daripada konteks universiti itu
sahaja.
“Kita
tidak boleh meneruskan tradisi ‘lihat itu, lihat ini’, apabila kejadian macam
ini berlaku kita mesti ada pendekatan menyeluruh. Misalnya, dalam konteks UPNM,
sistem yang ada sesuai ataupun tidak ataupun kita rombak balik … struktur
semula sistem pengajian yang ada di sana.
“Dalam
konteks universiti yang lain, kita tubuhkan Majlis Hal Ehwal Pelajar untuk
pastikan kes buli tidak berlaku,” katanya.
Sementara
itu, beliau berkata cadangan memasukkan universiti sebagai badan berkanun
dengan kuasa autonomi sendiri akan dikemukakan untuk pertimbangan kerajaan
kerana IPT Awam (IPTA) tidak tersenarai dalam Akta Badan-Badan Berkanun (Tatatertib
dan Surcaj) 2000 (Akta 605).
Dewan Rakyat kemudian meluluskan anggaran perbelanjaan mengurus dan pembangunan berjumlah RM18,097,086,800 yang diperuntukkan kepada KPT dalam Belanjawan 2025 dengan lebih suara menyokong selepas dibahas 19 Ahli Parlimen.
BERNAMA NEWS ONLINE
Tiada ulasan:
Catat Ulasan